~~~~

Sunday 1 April 2012

JADILAH YANG KECIL....

    Pada satu masa dahulu, ada dua orang sahabat yang sangat akrab, Seorang itu tersangatlah alim dan warak, dan seorang lagi seorang peniaga yang jujur. Dipendekkan cerita, pada suatu hari sahabatnya ingin pergi menjual barang perniagaannya ke satu negeri yang menjadi tumpuan pedagang - pedagang untuk memperdagangkan barangan mereka. Jika hendak dihitungkan, sahabat yang berniaga ini perlu menempuhi perjalanan mengambil masa satu minggu jauhnya. Namun, itulah lumrah dalam mencari rezeki di bumi tuhan ini, berjalanlah dia bersama muatan - yang dipikul untanya. Pemergiannya itu diketahui oleh sahabatnya yang warak itu.

     Selang beberapa hari kemudian, kelihatan kelibat seorang dari luar kota sekoyong - koyong berjalan dengan unta yang penuh muatan. Melihatlah si warak dengan penuh persoalan. Sahabatnya pulang lebih cepat daripada apa yang disangkakan, hendak kata barang niaganya telah habis dijual itu tidak mungkin, kerana perjalanan ke kota tumpuan pedagang itu mengambil masa seminggu untuk sampai. Hendak dikatakan dirompak oleh penyamun juga tidak mungkin, kerana dibelakang untanya masih bertimbun banyak barang yang belum diniagakan. hairan sungguh rasa hati si warak, terdetik untuk bertanya kepada sahabatnya yang baru pulang itu.

      "Sahabatku, kenapa begitu cepat benar kamu pulang kali ini? sudah habis dijualkah barang niaga mu?", tanya si warak membuka bicara. "tidak sahabatku! bahkan aku tidak pergi pun berdagang ke sana.", jawab sahabatnya." Apa yang menghalangimu di perjalanan mu itu wahai sahabatku? adakah musuh datang mengancam mu?", soalnya lagi. " oh, tidak sahabatku, bahkan perjalanannya begitu aman sekali". balas sahabatnya. "Jadi apakah gerangan mu kembali tanpa berjual beli?" bertanya si warak dengan penuh ingin tahu.

     "sebenarnya dalam perjalanan ku untuk berniaga, aku merasa sangat penat dan terjumpalah aku dengan tempat yang redup dan air yang jernih." sahabatnya menyambungkan ceritanya, " Kepenatan ku terubat dengan aku berehat melepas lelah di perdu pokok itu, sedangkan mata ku mula memandang keatas, anak mata ku melihat akan seekor burung sedang bertenggek pada dahannya." si warak itu mendengar dengan penuh khusyuk. Sahabat itu menyambung lagi, " ku amati betul - betul burung tersebut, baru ku sedari bahawa burung tersebut kudung sebelah kakinya, dan buta akan matanya."


     "kemudian, apa yang berlaku?" soal si warak dengan penuh minat. Sahabatnya menjawab, " Dalam hatiku terdetik, bagaimana mungkin burung ini boleh hidup sedangkan ia buta,bahkan kudung kakinya, mana mungkin ia mampu mencari rezeki?. sahabat itu berbicara lagi." dengan izin Allah, ku melihat dua ekor burung yang sangat kecil menghampiri burung yang cacat itu, disuakan makanan oleh burung - burung yang kecil itu pada burung yang malang itu." si warak itu mendengar dengan penuh kagum. Sahabatnya menambah lagi, "aku merasakan sungguh ta'ajub atas kejadian itu, di hati ku terdetik, sedangkan burung yang cacat ini pun mendapat rezekinya sendiri, walaupun tidak melalui kudrat dan kemampuannya, jika Allah ingin memberi rezekiNya, tetap akan sampai pada ia." si warak itu mengangguk tanda faham."Aku membuat keputusan untuk tidak berniaga lagi, kerana aku yakin jika Allah kehendaki, tentu aku tetap akan mendapat bahagianku juga," ujar sahabatnya.

    fahamlah si warak kenapa sahabatnya tidak pergi lagi berniaga. Si warak ini tersenyum lalu bertanya, "wahai sahabatku, memang benar apa yang kamu katakan itu, tetapi aku berasa hairan sekali." Sahabatnya melihat si warak dengan rasa hairan menebal di dada. "apa maksudmu duhai sahabatku?", soalnya. " Aku hairan kenapa kamu begitu beriya-ia mahu menjadi seperti burung yang cacat itu, sedangkan kamu dikurniakan Allah sempurna kejadiannya. Kenapa kamu tidak mahu menjadi seperti burung yang kecil itu? sedang burung itu pun perlu mencari rezeki untuk dirinya juga. Bahkan ia perlu mencari rezeki yang lebih untuk memberi makan kepada burung yang cacat itu, bukankah itu lebih mulia???", ulas si warak itu dengan panjang lebar dan penuh hikmah.

   Tersentaklah sahabatnya itu dengan kata-kata si warak. seolah-olah kepalanya diketuk oleh tukul yang meleraikan karat - karat yang menutupi akal sihatnya... sedarlah dia akan kesilapan dirinya sendiri. "Benar kata - kata mu wahai sahabatku, engkau telah membuka mata ku untuk melihat kesilapan fikiran ku," kata sahabatnya itu lagi...Jadi sahabat pembaca sekalian, apa yang ingin kamu jadi?

No comments:

Post a Comment